TERUS KOMITED MEMBANTU GRADUAN PENGAJIAN TINGGI


Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan ratusan juta ringgit bagi menyokong pendidikan, termasuk untuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di bawah naungan MAIWP serta IPT awam dan swasta di negara ini.

Ini juga merangkumi sokongan kepada golongan asnaf yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) Kali Ke-15 yang berlangsung pada 18 Januari 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, seramai 1,094 graduan daripada pelbagai bidang pengajian telah menerima sijil mereka.

Dalam sidang media selepas majlis, Menteri Hal Ehwal Agama, Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Bin Haji Mokhtar, mengumumkan bahawa MAIWP telah menyalurkan sebanyak RM25 juta untuk membantu graduan dalam meneruskan pengajian mereka.

Sumbangan ini meliputi elaun sara diri, yuran pengajian asasi dan biasiswa.

MAIWP yang berteraskan tema ‘Melestari Ummah Wilayah Sejahtera’ berkomitmen menyediakan pendidikan berkualiti terbaik dunia dan relevan, sejajar dengan keperluan negara.

UCMI terus memainkan peranan penting dalam pembangunan negara melalui pendidikan tinggi.

Satu lagi kejayaan dicatatkan pada majlis tersebut apabila graduan sulung bagi program Master in Business Administration (MBA) turut diraikan.

Seramai enam graduan, yang terdiri daripada pelajar dalam dan luar negara, menerima pengiktirafan tersebut, antaranya; Arman Irwani Mohamed Isa, Nurul Hidayah Abdul Mutalib, Wan Faradila Fasha Mohamad, Norhairani Sehab, Shubirulwa Rubiah dan Sokrey Nasrollah.

Majlis konvokesyen tersebut turut dihadiri oleh Datuk Prof. ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, Pengerusi Lembaga Pengarah UCMI, Tan Sri Azman Hashim, Canselor UCMI, dan Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.

Sebagai kemuncak majlis, anugerah akademik utama telah disampaikan kepada graduan cemerlang, antaranya; Anugerah Pingat Emas Perdana MAIWP (APEPM) kepada Siti Nur Syafiqah Binti Badrul Hisham, Anugerah Canselor Tan Sri Azman Hashim (ACTSAH) kepada Nur Fariza Binti Mohd Kamil dan Anugerah Naib Canselor (ANC) kepada Alvien Haniza Binti Rahman Ajip.

Dengan sokongan berterusan daripada MAIWP, para graduan ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.

 

Sumber: FB MAIWP dan UCMI


TOP