PROGRAM PERSEDIAAN MAHASISWA MAIWP 2025 BENTUK JATI DIRI CEMERLANG

Pulau Pinang, 2 November 2025 – Seramai 187 mahasiswa baharu penerima Bantuan Persediaan IPT Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyertai Program Persediaan Mahasiswa MAIWP 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Oktober hingga 2 November 2025 bertempat di White Resort Camp, Pulau Pinang.
Program anjuran Unit Pentadbiran dan Kerohanian, Bahagian Pembangunan Asnaf (BPA) MAIWP dengan kerjasama Jabatan Arah Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini menghimpunkan 85 peserta lelaki dan 102 peserta perempuan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus BPA MAIWP, Encik Mohd Rafie bin Zakaria, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan mahasiswa untuk membina jati diri unggul serta mengekalkan kecemerlangan akademik seiring nilai keagamaan dan disiplin diri.
Program ini dilaksanakan bagi memastikan mahasiswa memahami sistem pembelajaran, peraturan akademik serta kemudahan yang disediakan di institusi masing-masing, di samping mempersiapkan mereka dengan kemahiran pengurusan stres, motivasi diri, pengukuhan kerohanian dan keseimbangan antara akademik serta kehidupan sosial. Pada masa yang sama, program ini turut menyemai nilai integriti, kepimpinan dan kesukarelawanan dalam diri peserta agar mereka mampu menjadi mahasiswa yang berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pembangunan insan MAIWP.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti berbentuk latihan kepimpinan, servis komuniti, ceramah motivasi, aktiviti kerohanian dan kerja berpasukan, yang dirangka bagi membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga matang dari segi emosi, spiritual dan sosial.
Program ini diharap dapat menjadi platform terbaik untuk melahirkan generasi mahasiswa asnaf yang berdaya saing, berakhlak mulia serta mampu menjadi agen perubahan positif dalam masyarakat.

TOP