Menteri
Hal Ehwal Agama, Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, telah mengadakan
lawatan kerja ke Dar - Assa'adah, sebuah institusi di bawah Majlis Agama Islam
Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur.
Lawatan
ini adalah sebahagian daripada rutin mingguan beliau yang bertujuan untuk
menyantuni pelatih-pelatih di Dar - Assa'adah serta melawat beberapa tempat
kebajikan lain, termasuk lokasi gelandangan, asnaf, rumah tahfiz, dan pusat
perlindungan.
Semasa
lawatan, YB Menteri turut meluangkan masa bertanya khabar kepada para pelatih
dan menyampaikan saguhati sebagai tanda penghargaan kepada mereka.
Dar - Assa'adah yang ditubuhkan pada Januari 1988, pada asalnya dikenali sebagai Pusat Perlindungan Darul Islah, bertujuan memberi perlindungan kepada wanita-wanita yang menghadapi pelbagai masalah kehidupan.
Sejarah Penubuhan dan Perkembangan Dar - Assa'adah
Dar - Assa'adah ditubuhkan dengan matlamat untuk menyediakan tempat perlindungan
kepada wanita-wanita yang memerlukan.
Kaedah-kaedah
Dar - Assa'adah 1990 telah digubal untuk mengatur struktur pentadbiran dan operasi
pusat perlindungan ini, termasuk perlantikan Jawatankuasa dan
peruntukan-peruntukan berkaitan kewangan dan rekod institusi.
Pada
awal operasinya, Dar - Assa'adah berfungsi di sebuah blok rumah kedai di Taman
Bukit Anggerik, Cheras, dengan hanya dua orang penghuni pada tahun 1989.
Jumlah
penghuni meningkat secara berperingkat, mencapai sembilan orang pada peringkat
awal.
Pada
tahun 1996, Dar - Assa'adah berpindah ke sebuah rumah banglo milik MAIWP di Jalan
Gurney 3, Datuk Keramat, Kuala Lumpur, dengan kapasiti penghuni seramai 40
orang.
Pada 2
Februari 2000, Dar - Assa'adah berpindah sekali lagi ke sebuah kompleks yang lebih
besar dan selesa di Batu Caves, Kuala Lumpur, yang juga dimiliki oleh MAIWP.
Kompleks ini pada awalnya dikenali sebagai Kompleks Kebajikan Masyarakat Islam, namun namanya telah ditukar kepada Kompleks Dar - Assa'adah secara rasmi pada tahun 2001.
Pengurusan Dar - Assa'adah
Pengurusan
Kompleks Dar - Assa'adah pada mulanya diletakkan di bawah Bahagian Dakwah, Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Namun,
pada tahun 2007, pengurusan kompleks ini diserahkan kepada Bahagian Pembangunan
Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Pada 4
Februari 2015, Dar - Assa'adah sekali lagi berpindah ke lokasi baru di Kampung
Delima, Jalan Jambu Laut, Kg. Batu, Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, yang
merupakan lokasi operasi mereka sehingga hari ini.











