KUALA LUMPUR, 28 Julai – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi International Center for Education in Islamic Finance (INCEIF) dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik berkaitan penyelidikan keberkesanan zakat dalam mengubah taraf hidup golongan asnaf.
Delegasi INCEIF diketuai oleh Ketua Penyelidik, Dr. Zouhair Rosli, bersama dua orang penyelidik kanan iaitu Puan Maryam Zulkafly dan Puan Sarah Mohd Hairul Hasmady. Kehadiran mereka adalah bagi membentangkan cadangan kajian bertajuk “Impact Assessment of Effectiveness of Zakat in Promoting Upward Mobility Among Its Recipients in Kuala Lumpur.”
Kajian ini bertujuan untuk menilai secara mendalam kesan jangka panjang bantuan zakat yang disalurkan kepada asnaf, khususnya dari segi peningkatan mobiliti sosioekonomi dan kesejahteraan hidup mereka. Melalui pendekatan berasaskan data dan impak, kajian ini dijangka dapat membantu MAIWP dalam menambah baik dasar dan strategi agihan zakat agar lebih berfokus, berkesan serta inklusif.
Pihak MAIWP dalam pertemuan ini telah diwakili oleh En. Ahmad Talmizi bin Yahaya, Pengurus Bahagian Agihan Zakat; En. Ahmad Saifuddin bin Hj Md Tahir, Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf; serta Pn. Farizah binti Kamaruddin, Pengurus Bahagian Pembangunan Insan.
Perbincangan dua hala ini membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara MAIWP dan INCEIF dalam pelaksanaan kajian-kajian impak sosial berasaskan zakat pada masa hadapan. MAIWP turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh pembangunan asnaf melalui pendekatan berpandukan bukti (evidence-based), agar setiap bantuan yang disalurkan mampu memberi kesan berpanjangan kepada penerimanya.
Usaha ini juga selari dengan matlamat MAIWP untuk memastikan agihan zakat bukan sahaja bersifat jangka pendek tetapi mampu membawa perubahan struktur kepada kehidupan golongan asnaf dalam jangka panjang.




