Satu kunjung hormat telah diadakan oleh delegasi Ops Ihsan ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terkesan dengan konflik berpanjangan.
Delegasi Ops Ihsan yang diketuai oleh YBrs. Encik Jismi Johari telah disambut mesra oleh YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP Bersama YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP dan pihak pengurusan MAIWP.
Pertemuan ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi perkembangan terkini misi bantuan, selain membincangkan inisiatif bersama bagi memperluaskan lagi impak sumbangan kepada mangsa di Palestin.
Antara fokus utama perbincangan adalah penyaluran bantuan kecemasan seperti makanan, bekalan perubatan, dan keperluan asas, serta perancangan jangka panjang termasuk sokongan pendidikan dan pembangunan komuniti.
Diharapkan kerjasama erat ini dapat memberi sinar harapan dan meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Palestin serta komitmen berterusan dalam menyokong usaha kemanusiaan ini.





