KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2025 – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Se-Malaysia (KDMRS Muslim) yang diketuai oleh Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Nicholas Sylvester.
Ketibaan delegasi KDMRS Muslim telah disambut mesra oleh Yang Berusaha Encik Talmizi bin Yahaya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP di Menara MAIWP, Kuala Lumpur.
Kunjungan ini menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang dakwah dan kebajikan ummah. Ia turut menzahirkan semangat ukhuwah Islamiah yang merentasi sempadan geografi — dari Borneo hingga ke Wilayah Persekutuan.
Antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut ialah pelaksanaan Konvensyen Dakwah Borneo, yang dijangka menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman dalam memperkasa agenda dakwah di kawasan pedalaman Sabah. Turut disentuh ialah cadangan pelaksanaan beberapa inisiatif kebajikan dan pembangunan komuniti Muslim di akar umbi, bagi memastikan kesejahteraan masyarakat Islam di rantau itu terus terbela.
MAIWP menyambut baik komitmen KDMRS Muslim dalam usaha membawa mesej Islam ke pelbagai lapisan masyarakat, khususnya dalam kalangan mualaf dan komuniti luar bandar di Sabah.
Sinergi yang terjalin ini diharap dapat memperluas jaringan kerjasama dakwah antara MAIWP dan pertubuhan Islam di Borneo, seterusnya memperkukuh perpaduan dan ketahanan ummah di seluruh negara.
Dari Borneo hingga ke Wilayah, semoga kerjasama yang terjalin ini terus menyinari perjuangan dakwah dan kebajikan demi melahirkan umat Islam yang lebih teguh, berdaya, dan bersatu padu.




