KUALA LUMPUR, 23 Julai – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Pejabat Tabung Haji di Jalan Tun Razak bagi membentangkan inisiatif Program Latihan Graduan IPT (PLGI).
Kunjungan tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, YBrs. Encik Mohd Fauzi bin Abidin, bersama barisan pegawai kanan daripada Bahagian Pembangunan Asnaf (BPA) MAIWP iaitu Encik Kamarunnizam bin Shahimi, Ketua Unit Pengurusan Agro, Encik Ahmad Zaim Fikri bin Kamarul Zaman, Ketua Unit Latihan dan Kerjaya serta Encik Abdul Fattah bin Abdul Rahman, Ketua Unit Pentadbiran dan Kerohanian.
Delegasi MAIWP telah disambut oleh barisan pengurusan kanan Tabung Haji yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Ridzuan bin Wahi, Ketua Bahagian Operasi Pejabat Cawangan (OPC). Turut hadir ialah Puan Maziatul Hanis binti Mior Harun, Penolong Pengurus Besar Perancangan Strategik; Encik Abu Shukor Jangga, Pengarah Wilayah Tengah; Encik Mohd Ezham bin Leman, Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan; serta Puan Hajah Biby Haslinda binti Karibullah, Pengurus Cawangan Jalan Tun Razak.
Tujuan utama sesi ini adalah untuk memperkenalkan dan membentangkan pelaksanaan PLGI, satu inisiatif yang dirangka bagi menyediakan platform latihan serta pendedahan pekerjaan kepada graduan institusi pengajian tinggi (IPT) yang masih belum mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan akademik mereka.
Program ini dijangka menjadi salah satu langkah strategik MAIWP dalam menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan serta mempertingkatkan kebolehpasaran mereka di pasaran kerja. Kolaborasi bersama agensi-agensi kerajaan seperti Tabung Haji diharap dapat memperkukuh pelaksanaan program ini serta memberi manfaat yang lebih meluas kepada golongan sasar.





