/ Buletin / By Mohd Faiz Hj. Othman
Views: 63
KUALA LIMPUR, 19 Disember
(IKIM) - Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU)
yang amat penting dalam memperkukuhkan sistem perundangan Syariah negara.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar
berkata RUU itu adalah RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
(Pindaan) 2024.
“RUU Pentadbiran Undang-Undang
Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 ini adalah satu usaha untuk
memperkasakan pentadbiran agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan, dengan
pindaan yang meliputi pelbagai aspek, termasuk penyusunan semula keanggotaan
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), pemantapan pentadbiran
kewangan, serta kuasa bagi menguruskan wakaf, rumah kebajikan, dan perlindungan
untuk golongan yang memerlukan,” kata beliau.
Manakala bagi RUU Tatacara Mal
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 pula bertujuan untuk memperkemas
tatacara perundangan di Mahkamah Syariah, termasuklah membolehkan prosiding
dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh, yang amat relevan dalam
dunia digital masa kini.
“Ini akan memudahkan pengurusan
kes dan memastikan keadilan dapat ditegakkan walaupun dalam keadaan tertentu
seperti kekangan jarak atau kos,” tambah beliau.
Turut hadir mengikuti perbahasan
tersebut Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Hal Ehwal Agama).
Sumber: ikimfm.my

