Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus memperkukuh perancangan strategiknya apabila berjaya menganjurkan Program Uzlah Ahli MAIWP Tahun 2025 selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Disember 2025. Program tahunan berimpak tinggi ini menjadi medan utama untuk menilai prestasi semasa serta merangka hala tuju pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan bagi menghadapi cabaran tahun mendatang.
Program Uzlah ini menghimpunkan Ahli-ahli MAIWP, Pengurusan Tertinggi MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta wakil syarikat milik MAIWP, sekali gus mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam memperkukuh tadbir urus dan keberkesanan pentadbiran Islam.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai isu strategik telah dibincangkan termasuk penilaian pencapaian syarikat milik MAIWP bagi Tahun 2025, prestasi MAIWP dan JAWI sepanjang tahun, serta perancangan strategik MAIWP, JAWI dan syarikat milik MAIWP bagi Tahun 2026.
Penganjuran Uzlah ini dilihat sebagai langkah proaktif MAIWP dalam memastikan setiap perancangan dan keputusan yang dirangka berlandaskan pendekatan strategik, bersepadu dan berpaksikan kepentingan ummah, sejajar dengan aspirasi memperkasakan pengurusan Islam yang cemerlang dan berdaya tahan di Wilayah Persekutuan.







