TEMUDUGA TERBUKA PROGRAM PENGAJIAN DAN KERJAYA


Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Bahagian Pembangunan Asnaf (BPA) telah menganjurkan Temuduga Terbuka Program Pengajian dan Kerjaya MAIWP 2024 di Dewan Terbuka Masjid Zaid bin Thabit, Desa Tun Razak.

Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 4.30 petang ini menawarkan pelbagai kursus kemahiran serta jaminan pekerjaan dengan gaji permulaan RM1,800 selepas tamat pengajian.

Program ini turut melibatkan sembilan agensi yang menyediakan peluang kerjaya dalam pelbagai bidang, antaranya kejuruteraan, dandanan, kimpalan, kejururawatan, pendidikan awal kanak-kanak, dan banyak lagi.

Antara agensi terlibat; Kolej Universiti International Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (UCMI), Universiti Of Wollongong Malaysia (UOWM), Aimi Academy, Kumpulan Deldmart dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Semua kursus yang ditawarkan adalah tajaan penuh MAIWP, memberikan peluang istimewa kepada golongan asnaf dan belia untuk mempertingkatkan kemahiran dan taraf hidup mereka.

Selain temuduga, para calon juga berpeluang menikmati perkhidmatan percuma seperti:

  • Pemeriksaan kesihatan
  • Servis tukar minyak hitam motosikal
  • Gunting rambut
  • Urutan kepala dan bahu


Ustaz Ahmad Saifuddin bin Haji Md Tahir, Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf, dalam ucapannya berkata,

“Program ini merupakan usaha berterusan MAIWP dalam membantu golongan asnaf dan belia.”

“Ia adalah langkah strategik untuk memastikan mereka memperoleh kemahiran yang dapat memberi impak positif kepada diri dan keluarga, sekaligus meningkatkan kualiti hidup mereka."


Temuduga terbuka ini menjadi peluang besar untuk golongan asnaf memperolehi pekerjaan yang stabil dan meningkatkan peluang mereka untuk menjadi ejen perubahan bagi keluarga masing-masing.

TOP