‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ mewarnai tema Sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat kebangsaan 1446H/2024M tahun ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat kebangsaan pada 12 Rabiulawal 1446H bersamaan 16 September 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.
YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri dijadual hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan tahun ini.
Selain itu, tetamu kehormat lain yang dijadual hadir adalah YAB Timbalan-timbalan Perdana Menteri, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta dif-dif kenamaan lain.
Pada hari tersebut, Pameran Al-Falah melibatkan 14 buah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut diadakan dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan agensi terbabit.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tema ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan hakiki dunia dan akhirat kerana di sana terungkap manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW.
Konsep Al-Falah (kejayaan) perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi maksud menjayakan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang digagaskan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri.
Semoga Sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya dunia dan akhirat seiring dengan konsep Al-Falah (kejayaan) yang diperkenalkan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Orang ramai terutamanya komuniti Putrajaya dan sekitarnya, dijemput melapangkan diri mengunjungi
booth-booth tersebut pada 16 September 2024 mulai 7.30 pagi sehingga 3.00
petang.





