Program Dakwah Kawasan Operasi (PRODAKSI) Khas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) bersama rakan strategik berlangsung selama 5 hari, pada 11-15 Oktober 2024 di Pantai Timur, Sabah Negeri Di Bawah Bayu.
MAIWP diketuai oleh Encik Mohd Fauzi bin Abidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, program anjuran bersama Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dengan kerjasama pihak Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan MAIWP, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Tempat-tempat tumpuan dakwah, antaranya; di Kampung Balimbang Pulau Bum Bum, Pulau Kapalai, Pulau Sipadan dan Pulau Mabul, Semporna termasuk di Tawau.
PRODAKSI Khas berkonsepkan bimbingan kerohanian, ziarah dakwah, sumbangan tunai, penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau, anggota operasi dan penduduk setempat.
Program lebih menyantuni penduduk setempat dengan berdakwah secara santai, kepada anggota ATM di kawasan operasi supaya memberi manfaat serta impak yang maksimum kepada masyarakat setempat.
Ia turut diserikan dengan Majlis Forum Perdana di samping penyampaian barangan Kit PRODAKSI dan sumbangan tunai kepada Masjid dan penduduk setempat.
Melalui program sentuhan nurani ini bukan hanya melalui dakwah bil lisan tetapi juga melalui dakwah bil hal; iaitu, bukan hanya dalam bentuk ceramah, ucapan dan komunikasi verbal tetapi juga disantuni bersifat praktikal, perbuatan dan tenaga empat kerat yang manfaatnya langsung kepada masyarakat.
Semoga
PRODAKSI Khas ini mendapat keberkatan, rahmah dan mencapai sasaran dakwah.
























