MAIWP BANTU LEBIH 36,000 ANAK ASNAF MELALUI BANTUAN BACK TO SCHOOL SESI 2026

Tidak semua keluarga bermula dengan kelebihan dari segi ekonomi, namun setiap anak berhak memulakan kehidupan persekolahan dengan penuh harapan dan keyakinan. Prihatin terhadap keperluan tersebut, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meneruskan komitmennya membantu golongan asnaf melalui pelaksanaan Bantuan Back To School MAIWP Sesi 2026.

Melalui inisiatif ini, seramai lebih 36,000 anak-anak asnaf menerima bantuan berupa pakaian dan kelengkapan sekolah bagi memastikan mereka dapat melangkah ke sekolah dengan lebih yakin, selesa dan bermaruah menjelang sesi persekolahan baharu.

Bagi memudahkan proses penebusan, MAIWP menyediakan kaedah tanpa tunai melalui aplikasi BOOST, di mana ibu bapa atau penjaga boleh mula menebus bantuan tersebut bermula 22 Disember di outlet-outlet terpilih yang telah dilantik. Kaedah ini bukan sahaja memudahkan urusan penerima, malah memastikan agihan bantuan dilaksanakan dengan lebih cekap dan teratur.

Pelaksanaan Bantuan Back To School ini mencerminkan usaha berterusan MAIWP dalam memastikan agihan zakat sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya dalam menyokong pendidikan anak-anak asnaf. Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban keluarga serta menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih cerah, sekali gus menyumbang kepada pembinaan generasi dan kekuatan ummah.

TOP