LAWATAN KERJA PKPE MAIWP DI LABUAN


Lawatan kerja Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (PKPE) MAIWP, Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, ke Wilayah Persekutuan Labuan, memberikan tumpuan kepada pelbagai inisiatif dan bantuan yang disalurkan oleh MAIWP, termasuklah bantuan kewangan, kesihatan, sokongan keusahawanan kepada golongan asnaf dan meninjau perkembangan projek pembinaan Sekolah Menengah Agama MAIWP di Kampung Sungai Bedaun, Labuan.

Sesi 'Town Hall' MAIWP di Labuan

Datuk Mohd Nizam mengadakan sesi ‘Town Hall’ bersama pegawai-pegawai MAIWP di Dewan Kompleks Darul Kifayah MAIWP Labuan.

Datuk mengucapkan tahniah kepada MAIWP Labuan atas kejayaan mengagihkan RM120 juta dana zakat pada tahun 2024.

Beliau memaklumkan tema MAIWP tahun ini, “Kualiti Memacu Keunggulan Perkhidmatan,” dan mengajak semua pegawai untuk terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan.

Ziarah Cakna: Keluarga Nurhidayah Jos

Sesi Ziarah Cakna oleh Datuk Mohd Nizam di kediaman Puan Nurhidayah Jos, 39 tahun, di Kampung Pohon Batu.

Puan Nurhidayah tinggal di kediaman ibu bapanya, mengusahakan perniagaan menjual burger di tepi jalan dengan pendapatan bulanan sekitar RM300 - RM400.  Puratanya RM12 sehari.

Beliau menanggung empat orang anak yang masih bersekolah.

MAIWP telah meluluskan Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM600 sebulan, Bantuan Am Persekolahan, Bantuan Peralatan dan Pakaian Persekolahan bernilai antara RM500 hingga RM700 seorang anak.

MAIWP berharap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga Puan Nurhidayah dan untuk masa depan anak-anaknya.

Ziarah Cakna: Rosnani memikul tanggungjawab berat

"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul," demikian kata Datuk Mohd Nizam ketika melawat Puan Rosnani Muhammad Naim, 48 tahun, di Kampung Pohon Batu.

Puan Rosnani, isteri kepada Encik Khiew Min Sen, 59 tahun, menjaga suami yang lumpuh sejak 2024.

Bagi menyara kehidupan, Puan Rosnani berniaga kuih-muih.
MAIWP prihatin dengan bebanan ditanggung oleh keluarga puan Rohani dan telah memberikan Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM500 sebulan, selain bantuan kesihatan bernilai RM25,266, termasuk katil boleh laras, susu kesihatan dan keperluan perubatan.

Beliau turut menerima sumbangan barangan keperluan dapur dan wang tunai bernilai RM300.

Keusahawanan Asnaf: Lempeng Kelapa Resepi Bonda

Encik Mohd Yunus Senusi dan isterinya, Puan Norkiah Ali, berniaga lempeng kelapa dengan pengalaman dalam bidang masakan.

Lempeng kelapa mereka menjadi kegemaran penduduk setempat.

Selain lempeng, mereka turut memperkenalkan pelbagai produk makanan sejuk beku, seperti karipap tuna, pulut panggang dan roti canai.

Produk-produk ini dipasarkan di Labuan, Sabah dan Brunei.

Sebagai sokongan, MAIWP memberikan Bantuan Perniagaan berjumlah RM20,000 secara berperingkat.

Puan Norkiah juga diberikan kursus keusahawanan untuk mempertingkatkan pengurusan perniagaan dan produk terbaru pasangan ini adalah sambal.

Kemajuan Pembinaan SMA MAIWP Labuan

Datuk Mohd Nizam turut meninjau perkembangan projek pembinaan Sekolah Menengah Agama (SMA) MAIWP di Kampung Sungai Bedaun, Labuan.

Lawatan ini bertujuan memastikan kelancaran pembinaan dan penyelesaian masalah di tapak projek.

Pembinaan sekolah dijangka siap pada Februari 2026.


Terima Kasih Pembayar Zakat.

Anda Hero Asnaf.

Berita ini diangkat melalui FB MAIWP Labuan dan dikemaskini untuk memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai lawatan kerja PKPE MAIWP di Labuan dan usaha-usaha MAIWP dalam membantu asnaf dan mempertingkatkan pembangunan di sana.

TOP