Shah Alam, 30 Julai – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara dua institusi agama utama negara.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Yang Berbahagia Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, manakala delegasi MAIS pula diketuai oleh Yang Amat Dihormati Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi MAIS.
Pertemuan ini membuka ruang kepada perbincangan menyeluruh merangkumi pelbagai aspek kerjasama, terutamanya berkaitan urusan kebajikan dan pentadbiran hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah isu pertindihan kes asnaf di kawasan sempadan antara Wilayah Persekutuan dan Selangor. Kedua-dua pihak bersetuju bahawa perlu ada mekanisme penyelarasan dan perkongsian data yang sistematik agar bantuan kepada golongan asnaf dapat disalurkan dengan lebih adil, menyeluruh dan efisien.
Selain itu, kedua-dua institusi turut menekankan keperluan membanteras ajaran sesat dan fahaman liberal yang boleh merosakkan akidah umat Islam. Perbincangan turut menjurus kepada usaha memperkasakan ekonomi umat Islam melalui pembangunan Halal Hub, satu inisiatif strategik yang dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi berlandaskan prinsip syariah.
Dalam masa yang sama, usaha penyelarasan pelaksanaan fatwa antara Wilayah Persekutuan dan Selangor juga turut dibincangkan bagi memastikan keseragaman dan keharmonian dalam pentadbiran hal ehwal agama, khususnya yang melibatkan masyarakat di kawasan sempadan.
Kerjasama erat ini adalah cerminan tanggungjawab bersama antara MAIWP dan MAIS untuk memastikan kebajikan umat Islam terus terbela dan setiap cabaran ummah ditangani dengan hikmah, kesepakatan serta keprihatinan.
Pertemuan strategik ini diharap menjadi titik tolak kepada hubungan yang lebih utuh antara kedua-dua institusi dalam menjayakan misi pembangunan Islam di Malaysia.







