Pada 17 Oktober 2024, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Penjara Malaysia, Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti (BPPK), Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM).
Delegasi ini dipimpin oleh Timbalan Komisioner Penjara (TKP), Encik Mohd Andri bin Md Ridzwan, bersama Pengarah BPPK IPPM, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Encik Aminon bin Adnan; Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Timbalan Penguasa Penjara (TPP), Sukur bin Nordin; IP Muhammad Rafiuddin bin Rohijan dan Encik Kamal.
Rombongan tersebut disambut oleh Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP; Ustaz Ahmad Talmizi bin Yahaya; Puan Sutera Manis binti Zamzam; Ustaz Abdul Fattah bin Abdul Rahman, serta pegawai-pegawai MAIWP yang lain.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya dan bertujuan untuk membincangkan kerjasama antara MAIWP dan Jabatan Penjara Malaysia.
Fokus utama pertemuan ini adalah mengenai inisiatif untuk membantu mereka yang sedang menjalani proses peralihan dari kehidupan penjara kembali ke kehidupan normal di kalangan masyarakat awam.
Kerjasama ini diharap dapat menyediakan sokongan yang holistik, termasuk bantuan dari segi agama dan sosial, bagi memastikan prospek tersebut dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan bermakna setelah dibebaskan.
Kunjungan ini juga membuka ruang untuk MAIWP dan Jabatan Penjara Malaysia merancang pelbagai program pembinaan karakter dan rehabilitasi, yang memberi tumpuan kepada pemulihan diri, kemahiran hidup, dan integrasi kembali ke dalam masyarakat dengan penuh tanggungjawab.









