PROTAS JADI TITIK KEBANGKITAN

Hulu Langat, 9 Mei 2026 – Seramai 50 orang peserta usahawan asnaf menyertai Program Tunas Usahawan MAIWP (PROTAS) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama strategik SME Corp Malaysia yang berlangsung selama 7 hari 6 malam di Lembah Azween, Hulu Langat.

Program pembangunan usahawan ini menghimpunkan peserta daripada pelbagai bidang perniagaan termasuk makanan dan minuman, jahitan serta pertukangan sebagai usaha memperkasa golongan asnaf agar lebih berdaya saing dan mampu mengembangkan perniagaan secara mampan.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul pembangunan keusahawanan meliputi aspek pengurusan perniagaan, pemasaran, penjenamaan, komunikasi, pengurusan kewangan serta pembangunan motivasi dan jati diri usahawan.

Peserta turut menjalani sesi bimbingan intensif sebelum menyertai sesi pitching perniagaan di hadapan panel penilai daripada MAIWP dan SME Corp Malaysia bagi menerima geran pembangunan perniagaan sehingga RM20,000 untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Majlis Peluncuran Penutup Program TUBES dan PROTAS telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Encik Rizal bin Dato’ Nainy.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi MAIWP, Ustaz Ahmad Talmizi bin Yahaya.

Dalam majlis tersebut, beberapa anugerah khas turut disampaikan sebagai penghargaan kepada peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang program berlangsung.

Anugerah Peserta Terbaik telah dimenangi oleh Encik Khairul Ikhwan, manakala Anugerah Rancangan Perniagaan Terbaik dimenangi oleh Puan Nur Azara Dayana. Kedua-dua penerima membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 setiap seorang.

Program PROTAS merupakan salah satu inisiatif pembangunan ekonomi MAIWP yang memberi fokus kepada pembangunan kapasiti usahawan asnaf melalui latihan, bimbingan serta sokongan pembangunan perniagaan secara berterusan.

Usaha kerjasama strategik bersama SME Corp Malaysia ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan asnaf yang berjaya, berdikari serta berpotensi menjadi pembayar zakat pada masa hadapan.

TOP