KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus komited dalam memperkasa usaha kebajikan dan menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya dalam aspek kesihatan awam. Terbaharu, MAIWP telah meluluskan peruntukan sebanyak RM450,000 bagi pembelian sebuah ambulans untuk kegunaan Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur.
Majlis penyerahan ambulans tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di perkarangan hospital berkenaan. Turut hadir menyaksikan penyerahan ialah Pengerusi MAIWP, YBhg. Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya.
Sumbangan ambulans ini merupakan antara inisiatif MAIWP dalam menyokong keperluan perubatan institusi kesihatan kerajaan, sejajar dengan matlamat untuk mempertingkatkan kebajikan rakyat di Wilayah Persekutuan. Sebelum ini, MAIWP turut meluluskan bantuan pembelian sebuah bas Coaster bernilai RM229,000 kepada Hospital Kuala Lumpur bagi kemudahan pesakit dan waris yang hadir mendapatkan rawatan.
Bagi tahun 2025, MAIWP memperuntukkan lebih RM1.85 juta kepada 14 pusat perubatan dan hospital di sekitar Wilayah Persekutuan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh akses kepada rawatan kesihatan berkualiti, khususnya untuk golongan asnaf dan kurang berkemampuan.
Usaha murni ini mencerminkan iltizam MAIWP dalam memperluas manfaat zakat ke bidang kesihatan, sejajar dengan prinsip maqasid syariah dalam menjaga nyawa dan kesejahteraan masyarakat.





