MAIWP telah menyalurkan sebanyak RM9.45 melalui
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk diagihkan kepada
Masjid-Masjid dan Surau-Surau terpilih di Wilayah Persekutuan. Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah
Persekutuan (MAIWP) telah melancarkan Program Iftar Rahmah Madani 1445H
bertempat di Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur.
Agihan tersebut adalah bagi tujuan penyediaan
juadah berbuka puasa secara percuma kepada asnaf dan masyarakat sepanjang bulan
Ramadan. Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji
Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal
Agama). Turut hadir Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP
dan Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI.
Iftar Rahmah Madani 1445H adalah sebuah program
berkonsepkan soup kitchen yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah-Wilayah
Persekutuan bagi menyediakan pek makanan dengan pelbagai jenis juadah berbuka
puasa setiap hari secara percuma kepada golongan yang memerlukan.
Tujuan utama program tersebut dianjurkan adalah
untuk membantu meringankan beban kos sara hidup dalam kalangan ahli kariah.
Kaedah pelaksanaan program adalah petugas masjid
dan surau memasak juadah berbuka puasa secara bergotong-royong di dapur masjid
dan surau serta dibungkus untuk diedarkan kepada penerima yang ditentukan dalam
kalangan asnaf, B40, dan golongan yang memerlukan di sekitar Wilayah-Wilayah
Persekutuan.
Program Iftar Rahmah Madani 1445H dijangka dapat
memberikan manfaat kepada 21,000 orang penerima setiap hari, manakala jumlah
keseluruhan penerima manfaat yang dijangkakan sepanjang program tersebut
berlangsung berjumlah 630,000
orang. Jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan bagi
menjayakan program pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu iaitu RM9.45
juta. Set hidangan yang lengkap disediakan merangkumi nasi, satu jenis lauk dan
sayur, buah, kurma, dan minuman.
Pada majlis tersebut, YB Menteri turut menyampaikan
sumbangan bakul makanan JAWI Food Bank berupa barangan keperluan asas seperti beras,
minyak, gula, tepung dan susu kepada 100 orang asnaf dengan nilai barangan
RM100 bagi setiap penerima.
Selain itu, cek cura peruntukan bernilai RM 9.45
juta diserahkan kepada wakil-wakil dari 70 buah masjid dan surau yang terpilih
bagi menjayakan Program Iftar Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan.




