Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal
Agama) YB Senator Dato' Setia Dr. Mohd Na'im Haji Mokhtar berkata MAIWP akan
perangi habis-habisan asnaf yang tidak layak menerima bantuan dan menipu
maklumat melalui Program Pemutihan yang sedang dilaksanakan oleh MAIWP.
Bantuan kepada asnaf akan ditamatkan serta merta
jika asnaf didapati tidak layak.
MAIWP juga akan memaklumkan kadar bantuan baru pada
Jun 2024 selaras dengan peningkatan kos sara hidup di Wilayah Persekutuan.
YB Senator Dato' Na'im berkata demikian pada Program
Ziarah Asnaf Siri 1/2024 dan Penyerahan Sumbangan Ambulans Kepada Bulan Sabit
Merah Malaysia Kuala Lumpur (BSMMKL) di Perumahan Awam Seri Selangor.
Program Ziarah Asnaf ini adalah program rutin
setiap bulan sebagai platfom untuk menyantuni asnaf-asnaf penerima bantuan
MAIWP.
Selain itu melalui program ini, YB Menteri dapat
mendekati penerima bantuan yang sedang menerima bantuan MAIWP dan dapat
mengetahui status bantuan yang diterima sama ada mencukupi atau masih
memerlukan bantuan-bantuan lain yang belum diperolehi daripada MAIWP.




