Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini mengumumkan Bajet 2025 dengan tema "Melestari Ummah Wilayah Sejahtera",
yang telah mendapat perkenan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 10 Oktober 2024.
Bajet
ini menekankan usaha untuk memastikan kesejahteraan asnaf, pemerkasaan pendidikan,
transformasi digital dan pembangunan aset ummah, selari dengan Pelan Strategik MAIWP 2021–2025.
Bajet 2025 ini menetapkan tujuh fokus utama untuk mencapai objektif MAIWP, antaranya; Pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf, Pembangunan modal insan melalui pendidikan, Transformasi digital dalam perkhidmatan IR4.0, Peningkatan kompetensi dan kemudahan pegawai, Peningkatan promosi dan penganjuran program yang berimpak tinggi, Pengukuhan syarikat yang berdaya saing, dan Pemakaian piawaian perakaunan Islam; Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW).
Pendekatan
ini mencerminkan komitmen MAIWP untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan memastikan
kebajikan masyarakat di Wilayah
Persekutuan terus terbela.
Anggaran
pendapatan MAIWP bagi
tahun 2025 dijangka berjumlah RM1.56
bilion, iaitu meningkat sebanyak 12% berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, perbelanjaan yang dirancang adalah sebanyak RM1.675 bilion, yang akan diagihkan kepada beberapa sektor utama; RM1.34 bilion untuk agihan zakat, RM246 juta untuk pengurusan dan RM87 juta untuk pembangunan.
Dana ini akan digunakan untuk pelbagai skim bantuan zakat, program pendidikan, pembangunan hartanah, serta pengukuhan teknologi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan MAIWP.
Salah satu inisiatif utama dalam
Bajet 2025 adalah peruntukan sebanyak RM1.34
bilion untuk agihan
zakat.
Tumpuan
utama akan diberikan kepada pemerkasaan asnaf dan pembangunan modal insan.
Sebahagian
daripada peruntukan ini akan disalurkan melalui pelbagai skim bantuan kewangan,
makanan, perubatan, perlindungan, dan program-program pembangunan asnaf yang
merangkumi bidang keusahawanan,
pendidikan, serta bantuan kepada institusi pendidikan di bawah MAIWP.
Sebagai
tambahan, untuk mengurangkan beban kos sara hidup, MAIWP memberikan insentif khas bagi tahun 2024.
Sebanyak
RM500 akan diberikan
kepada 33,000 penerima
dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM16.5
juta.
Bantuan ini
dijangka disalurkan sebelum 31
Disember 2024.
MAIWP juga menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan utama dalam
pembangunan ummah di Wilayah
Persekutuan, dengan sokongan daripada para pembayar zakat yang merupakan tulang
belakang kejayaan pelbagai inisiatif ini.
Pembentangan Bajet MAIWP 2025 disampaikan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji
Mokhtar, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan disaksikan oleh Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya,
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP dan Encik Mohd Fauzi bin Abidin, Timbalan Ketua Pegawai
Eksekutif (Pengurusan) MAIWP.






