Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menerima kunjungan hormat daripada Unit Wakaf dan Infaq Universiti Islam Melaka (UNIMEL), yang turut disertai oleh wakil dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Rombongan diketuai oleh Prof. Dr. Sayuti Bin Ab Ghani, Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf UPNM, dan turut bersama beliau, Encik Sani Bin Ismail, Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pengurusan Wakaf UPNM.
Manakala daripada Universiti Islam melaka diketuai oleh Dr. Mohamad Nazli Bin Omar, Pengarah Program International Conference on Waqf, Zakat and Philanthrophy 2025 (ICWZP 2025), dan bersama beliau, Puan Siti Zubaidah Binti Ramli, Timbalan pengarah Program ICWZP 2025, Encik Ahmad Saufi Bin Misran, Setiausaha Program ICWZP 2025, Dr. Mohd Azam Haji Yahya, Pengerusi Wakaf UNIMEL, Dr. Shahrul Hilmi Bin Othman,Timbalan Pengerusi Wakaf UNIMEL dan Puan Norizan Binti Samri, Penyelaras Fakulti Keilmuan Islam UNIMEL.
Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara pihak-pihak berkenaan dalam penganjuran persidangan zakat dan wakaf di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
Pertemuan tersebut dipengerusikan oleh Ir. Abdul Karim bin Mohamed @ Ismail.
Dalam sesi tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai aspek bagi
memantapkan perancangan dan pelaksanaan persidangan yang bakal menjadi platform
utama untuk membincangkan isu-isu berkaitan zakat, wakaf, dan filantropi, bukan
sahaja di peringkat negara tetapi juga di peringkat global.
Ir. Abdul Karim menyambut baik inisiatif yang dibawa oleh UNIMEL dan UPNM,
dan menegaskan bahawa kerjasama ini akan memberi impak positif kepada
perkembangan sektor wakaf dan zakat di Malaysia serta memberikan manfaat yang
lebih luas kepada masyarakat umum.
Beliau juga berharap, persidangan ini dapat menjadi medan untuk memperkasa
pengurusan dan pemahaman masyarakat mengenai konsep wakaf dan zakat dalam usaha
untuk mencapai kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi berteraskan prinsip
Islam.
Kunjungan ini menandakan permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara
UNIMEL, UPNM, MAIM, dan MAIWP, dalam memastikan kejayaan penganjuran
persidangan tersebut, yang dijangka akan menjadi satu acara berprestij di
peringkat antarabangsa dalam bidang zakat dan wakaf.










