SYED KAMARULZAMAN JAULAH IFTAR BERSAMA DK DAN PMA

Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), menghadiri Program Jaulah Iftar Pelajar  dengan berbaju Melayu berwarna putih menyerikan Dewan Al-Qaradawi, Kompleks Darul Kifayah MAIWP.  

Kehadiran Pengerusi MAIWP, sebagai suatu kebersamaan beliau dengan anak-anak MAIWP yang jarang disantuni ketika program yang menghimpunkan pelajar-pelajar Darul Kifayah seramai 224 orang dan pelajar Pondok Moden al-‘Abaqirah seramai 139 orang berserta urusetia.

Keceriaan Tuan Haji Syed Kamarulzaman pada program tersebut dapat dilihat melalui penampilan dan ucapan beliau dalam bentuk bersahaja:


Yang dihormati para hadirin sekalian

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama dalam Program Iftar Madani MAIWP bersama Sinar harian pada hari ini. Program ini merupakan satu kolaborasi istimewa antara MAIWP dan Sinar Harian @Karangkraf, yang bertujuan untuk mempromosikan fungsi serta peranan MAIWP kepada masyarakat.

Objektif utama program ini juga bertujuan memberi peluang kepada anak-anak di Kompleks Darul Kifayah dan Pondok Moden Al-‘Abaqirah, merasai suasana berbuka puasa beramai-ramai bagaikan kemeriahan berbuka puasa seperti di Madinah.

Hadirin yang dihormati,

Anak-anak yang dikasihi, bulan Ramadan adalah bulan untuk kita melatih diri menjadi lebih sabar, bersyukur, dan berdisiplin. Inilah masa untuk memperbanyakkan amal ibadah, menghormati guru dan ibu bapa, serta berusaha menjadi insan yang lebih baik. Jangan pernah berputus asa dalam mencari ilmu kerana ilmu adalah kunci kejayaan di dunia dan akhirat. Manfaatkanlah Ramadan ini untuk meningkatkan ilmu dan akhlak. Jangan pernah berputus asa dalam mencari ilmu kerana ia adalah cahaya yang akan menerangi jalan kehidupan kita.

Ingatlah bahawa ilmu yang dipelajari bukan hanya untuk kejayaan di dunia, tetapi juga untuk kebahagiaan di akhirat. Wahyu pertama, Iqra – baca yang menekankan diri perlukan ilmu.

Dahulu Madinah dikenali sebagai Yathrib. Masyarakatnya disebut Madani. Tamadunnya berkembang. Ilmu adalah asas memahami islam pada diri dan tamadun.


Malaysia menuju ke arah negara madani yang berteraskan ilmu.

Saya difahamkan hampir 500 jemputan hadir hari ini, dan ini membuktikan semangat kebersamaan serta ukhuwah yang erat antara kita.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Sinar Harian @Karangkraf, pengurusan Kompleks Darul Kifayah, Pondok Moden Al-‘Abaqirah, serta Unit Komunikasi Korporat MAIWP atas usaha mereka dalam menjayakan program ini.

Semoga majlis ini membawa keberkatan dan mengukuhkan nilai kasih sayang serta persaudaraan antara kita.

Akhir kata, saya berdoa semoga anak-anak sekalian terus maju dalam pelajaran, menjadi insan yang berakhlak mulia, dan menjadi kebanggaan ibu bapa, guru-guru, serta masyarakat.

Sekian.


TOP