Satu pertemuan penuh signifikan telah berlangsung apabila Persatuan Veteran TLDM Cawangan Kuala Lumpur yang diketuai oleh Kdr Khairil Hariss Khairuddin (Bersara) mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) baru-baru ini.
Delegasi berkenaan telah disambut oleh Yang Berusaha Encik Talmizi bin Yahaya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, dalam suasana mesra dan konstruktif yang mencerminkan komitmen kedua-dua pihak terhadap agenda kebajikan komuniti.
Pertemuan tersebut menjadi platform perbincangan strategik dengan tumpuan kepada usaha memperkasa komuniti veteran melalui pelaksanaan kursus keusahawanan, sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, serta penganjuran program motivasi dan pembangunan sahsiah untuk anak-anak veteran.
Inisiatif yang dibincangkan ini mencerminkan iltizam bersama dalam memastikan kebajikan veteran sentiasa terbela di samping memperkasa potensi generasi mereka agar terus berdaya saing dan berkeyakinan.
Jalinan kerjasama ini diharapkan menjadi titik tolak kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif berimpak tinggi demi manfaat komuniti veteran TLDM, khususnya di Wilayah Persekutuan.





