HARI INTEGRITI MAIWP 2024: MEMPERKASA BUDAYA INTEGRITI DAN PROFESIONALISME DI KALANGAN WARGA MAIWP


Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini mencipta sejarah dengan mengadakan sambutan Hari Integriti 2024, 18 Disember 2024, bertemakan "Amalkan Integriti, Tingkatkan Profesionalisme", di sini.

Program ini bertujuan untuk mengukuhkan budaya integriti dan memupuk profesionalisme dalam kalangan warga MAIWP, dengan harapan dapat melahirkan sebuah organisasi yang lebih berwibawa dan efisien.

Sambutan yang penuh makna ini menjadi platform penting bagi mendidik dan menyedarkan kakitangan MAIWP tentang kepentingan integriti dalam pelaksanaan tugas harian serta pengukuhan amalan profesionalisme dalam setiap aspek pekerjaan.

Sambutan Hari Integriti ini telah dirasmikan oleh YBhg. Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Khabeer, Pengerusi MAIWP.

Dalam ucapannya, Tuan Syed menekankan bahawa integriti bukan hanya sebuah konsep, tetapi adalah asas utama kejayaan dan keberkesanan sesebuah organisasi.

Beliau turut menyatakan bahawa tanpa integriti, kepercayaan masyarakat terhadap organisasi akan terhakis dan ini akan menjejaskan matlamat serta fungsi MAIWP sebagai sebuah badan yang berperanan penting dalam agama dan masyarakat.

Seiring dengan tema yang diketengahkan, pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dilaksanakan sepanjang tahun, termasuk ceramah kesedaran mengenai integriti, lawatan ke penjara untuk memberi pendedahan kepada pegawai mengenai nilai integriti, serta penyebaran maklumat tentang amalan baik dalam bekerja dengan penuh tanggungjawab.

Semua aktiviti ini bertujuan membentuk budaya kerja yang lebih beretika dan berintegriti di kalangan warga MAIWP.

Sambutan Hari Integriti ini turut dihadiri oleh YBhg. Lt Kol (K) Datuk Anwari Suri, Ahli MAIWP, dan YBrs. Encik Mohd Fauzi bin Abidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP.

Kehadiran mereka menambahkan lagi makna serta impak program ini, menunjukkan komitmen MAIWP untuk terus memperkukuhkan prinsip integriti dan profesionalisme di setiap peringkat organisasi.

MAIWP berharap dapat memastikan warga kerjanya sentiasa mengutamakan integriti dalam setiap tindakan, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih sejahtera dan berintegriti.

TOP