KEBAHAGIAAN 24 ASNAF MILIKI KEDIAMAN SENDIRI MELALUI PROGRAM MADANI MAIWP

KUALA LUMPUR, 4 November 2025 – MAIWP terus memperkukuh kesejahteraan ummah melalui pelancaran Program Teduhan Insani MADANI, inisiatif baharu bagi membantu asnaf memiliki kediaman sendiri di Wilayah Persekutuan.
Majlis pelancaran program ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bertempat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam.
Program Teduhan Insani MADANI MAIWP melambangkan komitmen MAIWP menjaga kebajikan asnaf selaras dengan prinsip Malaysia MADANI berteraskan ihsan, kesejahteraan dan keadilan sosial.
Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik MAIWP dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menerusi anak syarikatnya, Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) bagi membantu asnaf memiliki kediaman sendiri dengan pembiayaan penuh MAIWP.
YB Menteri dalam ucapannya berkata, "inisiatif seumpama ini adalah yang pertama diperkenalkan, menunjukkan bahawa MAIWP sentiasa mencari kaedah dan pendekatan holistik bagi membantu golongan yang memerlukan"
Seramai 24 asnaf layak menerima manfaat program ini dengan jumlah bantuan keseluruhan RM632,300.21 merangkumi bayaran bagi menanggung baki pinjaman perumahan sedia ada penerima yang terpilih.
Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban asnaf serta memberi harapan baharu untuk mereka memiliki kediaman selesa di Wilayah Persekutuan.

TOP