27 Julai - Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, mengangkat Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala
Lumpur sebagai Kampung Angkat beliau.
Beliau menyatakannya sempena Program Santuni Madani Mini Karnival Kampung
Angkat, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), di Kelab
Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
”Pertamanya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada semua agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas inisiatif
menganjurkan Program Mini Karnival bersama masyarakat khususnya penduduk di Kampung
Baru kerana Kampung Sungai Baru telah dipilih sebagai Kampung Angkat saya
selaku Menteri Agama, ” ucap beliau.
Dr. Na’im menyebutkan juga Pentadbiran Kerajaan Madani membawa satu kesungguhan
untuk membangunkan negara berteraskan nilai-nilai madani yang menjulang tinggi
semangat perpaduan dan keharmonian bermasyarakat.
Termasuklah kata beliau, beberapa usaha menangani kemiskinan tegar dan
menyelesaikan isu dihadapi masyarakat, seluruh jentera Kerajaan telah mengatur
pelbagai tindakan, strategi dan menyelesaikan masalah berbangkit.
”Sebagai anak Kampung Baru, saya rasa amat bertanggungjawab
untuk berusaha membantu keperluan warga Kampung Sungai Baru dalam pelbagai
aspek secara khususya bidang pendidikan dan penghayatan Islam kerana ia berkait
rapat dengan bidang tugas saya selaku Menteri Agama.
“Saya membesar di Kampung Baru, sejak zaman kanak-kanak
dan remaja lagi saya terdedah dengan hiruk pikuk kota raya.
”Ia menjadi universiti kehidupan yang mengajarkan
saya erti semangat tolong menolong, bekerjasama dan juga perjuangan hidup.
”Seribu satu kenangan nostalgia dilalui sehingga
membentuk diri saya pada hari ini.”
”Saya meletakkan keutamaan selepas ini semoga Kampung
Sungai Baru khususnya Kampung Baru akan mendapat lebih penumpuan untuk
menangani isu-isu kemiskinan, keciciran pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan,
penyalahgunaan dadah, infrastruktur dan sebagainya, ” ujar Dr. Mohd Na’im
YB Menteri juga mengungkapkan agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
berperanan untuk kepentingan masyarakat seperti JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah
Malaysia, MAIWP, JAWI, Tabung Haji, YADIM, YaPEIM, Mahkamah Syariah Wilayah
Persekutuan akan digerakkan untuk menyantuni masyarakat dan berharap bergandingan
bersama Dr Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)
dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi dalam memberikan
perkhidmatan terbaik di bawah payung Kerajaan Madani.
Di samping penghargaan dan berterima kasih kepada Perbadanan Kampung
Baru (PKB), Malay Agriculture Settlement (MAS), bersama-sama seluruh Pengerusi
dan Jawatankuasa Masjid Kampung Baru, badan-badan bukan kerajaan, badan
swasta dan terutamanya penduduk Kampung Sungai Baru.
Beliau mengharapkan komitmen, sokongan dan dokongan padu daripada
Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK), Kariah Masjid, Persatuan Belia, Kawasan Rukun
Tetangga dan Persatuan/Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) melalui libat urus nanti.
Bagi melicinkan gerak kerja, YB Menteri akan menubuhkan Pasukan Kerja
Santuni MADANI Kampung Baru dipengerusikan oleh penduduk Kampung Baru
termasuk melibatkan agensi-agensi Kerajaan akan juga dilibatkan.





