KUALA LUMPUR, 18 September – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mansor bin Ibrahim, Pendaftar PERHEBAT.
Delegasi tersebut telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya bersama barisan pengurusan tertinggi MAIWP di Menara MAIWP, Kuala Lumpur. Pertemuan ini berlangsung dalam suasana mesra dengan perkongsian maklumat serta perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah penyediaan kursus bimbingan kerjaya khusus untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal menamatkan perkhidmatan. Usaha ini diyakini mampu membantu mereka membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam persaraan, sekali gus meningkatkan peluang dalam bidang kerjaya dan keusahawanan.
Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada prosedur perancangan penerimaan wakalah sebagai salah satu mekanisme memperluas manfaat kepada masyarakat. Inisiatif ini dilihat berupaya memanfaatkan jaringan dan kepakaran kedua-dua pihak dalam memperkukuh ekosistem pembangunan sosial serta kebajikan masyarakat.
MAIWP menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuhkan agenda pembangunan ummah melalui kerjasama bersama pelbagai agensi strategik, termasuk badan berkaitan kebajikan dan pembangunan bekas anggota tentera. Pertemuan ini diharapkan dapat membuka ruang lebih luas kepada pelaksanaan program bersama yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat, khususnya golongan asnaf dan kumpulan sasar lain.




