MAIWP PERUNTUK RM1.678 BILION UNTUK KESEJAHTERAAN UMMAH

KUALA LUMPUR, 9 Disember 2025 – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)  membentangkan Bajet 2026 bertemakan “Kesejahteraan Ummah”, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.678 bilion bagi memperkukuh agenda kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Bajet ini selaras dengan Pelan Strategik MAIWP 2026–2030 dan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Al-Falah, yang menekankan tadbir urus berkesan, kesejahteraan insan dan pengukuhan institusi Islam.

MAIWP turut berkongsi prestasi 2025 yang mencatat peningkatan ketara, termasuk jumlah agihan sebanyak RM1.041 bilion sehingga November, melibatkan lebih 165,000 penerima melalui 38 skim bantuan. Kejayaan mengekalkan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran selama 18 tahun berturut-turut menegaskan tahap integriti dan ketelusan pengurusan kewangan MAIWP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd. Na’im bin Haji Mokhtar berkata, sebahagian besar peruntukan 2026 disalurkan terus kepada asnaf melibatkan RM1.354 bilion bagi perbelanjaan agihan manakala perbelanjaan mengurus berjumlah RM250.7 juta dan pembangunan RM73.65 juta.

Dua fokus utama agihan tahun hadapan ialah kesejahteraan dan pemberdayaan asnaf (RM1.157 bilion) serta pemerkasaan pendidikan ummah (RM197.2 juta), merangkumi bantuan pendidikan, institusi pendidikan dan sokongan kepada anak-anak asnaf dari peringkat awal hingga pengajian tinggi.

 “Keseluruhan peruntukan ini dirangka secara berhemah bagi memastikan setiap sen memberi impak nyata kepada peningkatan taraf hidup asnaf serta penyediaan akses pendidikan yang lebih baik,” katanya pada sidang media Bajet MAIWP di Menara MAIWP, semalam.

MAIWP menekankan komitmen untuk membantu masyarakat menghadapi cabaran ekonomi semasa, termasuk kos sara hidup yang meningkat, terutamanya di kawasan bandar. Pendekatan bajet ini selaras dengan semangat Belanjawan MADANI, memastikan jaringan perlindungan sosial kepada asnaf terus diperkukuh. 

Turut bersama dalam sidang media tersebut  ialah YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, barisan pengurusan MAIWP dan wakil syarikat MAIWP.

MAIWP turut merakamkan penghargaan kepada para pembayar zakat yang menjadi tulang belakang kekuatan MAIWP, semoga bantuan ini terus memberi impak positif kepada kesejahteraan ummah.

TOP