Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
menganjurkan Karnival MAIWP 2024 bagi menyebar luas peranan dan perkhidmatan
yang disediakan oleh MAIWP kepada masyarakat dalam aspek pendidikan,
keusahawanan, kesihatan dan kebajikan selain memperkasakan nilai kebersamaan
MAIWP dengan agensi-agensi yang terlibat.
Sempena sambutan Jubli Emas penubuhan MAIWP pada 1
Februari 1974, MAIWP menganjurkan Karnival MAIWP 2024 yang berlangsung satu
hari bermula jam 6.30 pagi sehingga 11.00 malam dengan membawa tema 50 Tahun
Memacu Kegemilangan. Dalam karnival ini sebanyak 100 buah reruai disediakan
yang menggabungkan pameran jualan usahawan asnaf MAIWP, perkhidmatan dan
institusi pendidikan serta kesihatan di bawah MAIWP. Selain itu juga, Rakan –
Rakan Korporat MAIWP seperti agensi – agensi kerajaan, selebriti turut membuka
reruai untuk orang ramai.
Pelbagai aktiviti dan pengisian dalam Karnival
MAIWP 2024 ini antaranya adalah MAIWP Fun Run yang disertai oleh seramai 500
orang peserta. Acara ini dilepaskan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd
Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seawal jam
6.30 pagi.
Dalam majlis pelancaran tersebut, YAB Dato’ Seri
Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia turut menyampaikan cek cura bantuan
barangan makanan keperluan asasi berjumlah RM110,485,050.00 kepada wakil
penerima bantuan sara hidup MAIWP. Selain itu juga, disampaikan bantuan pakaian
dan peralatan persekolahan bagi sesi 2024 berjumlah RM15,316,832.00 dan bantuan
pakaian dan peralatan persekolahan bagi pelajar luar Wilayah melalui Yayasan
Taqwa MAIWP berjumlah RM2,139,200.00. YAB juga meluangkan masa dengan melawat
reruai dan jualan usahawan asnaf.
Turut hadir dalam majlis ini, YBhg. Datuk Sr. Hj.
Kamarulzaman bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datin Paduka
Hajah Hakimah Binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Datuk Mohd Nizam
Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP dan YBhg. Datuk Mohd Ajib
bin Ismail, Pengarah JAWI.





