KUALA LUMPUR, 30 NOVEMBER 2025 – Karnival Usahawan Al-Falah Madani KUAM@MAIWP2025 menutup tirai selepas dua hari penganjuran di AEON Mall AU2, menghimpunkan 74 usahawan MAIWP daripada pelbagai bidang serta tiga kaunter zakat PPZ-MAIWP.
Majlis penutup disempurnakan oleh Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, yang mewakili YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar bin Haji Mokhtar , Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama).
Beliau merakamkan penghargaan kepada para usahawan dan rakan strategik atas sokongan berterusan dalam memacu ekonomi asnaf.
Acara kemuncak menyaksikan pengumuman *Ikon Usahawan MAIWP 2025*:
• Juliana binti Samsuddin – Ikon Usahawan Inspirasi
• Muhammad Haziq bin Haime – Ikon Usahawan Aspirasi Belia
• Siti Hadijah binti Jaafar – Ikon Usahawan Reka Rasa
• Ahmad Imran bin Mazlan – Ikon Usahawan Reka Cipta Produk
Selain itu, usahawan MAIWP turut menerima wagon trolley perniagaan daripada pemegang wakalah, manakala PPZ-MAIWP melancarkan Kempen Year End Zakat (YEZ) 2025 bersama penaja utama dan rakan penaja.
Sepanjang 2025, MAIWP telah menyalurkan RM14.5 juta bagi program pembangunan asnaf, memberi manfaat kepada 10,252 penerima, manakala sehingga November 2025, RM1.014 bilion dana zakat telah dibelanjakan untuk pelbagai bantuan.
Karnival ini terus membuktikan keberkesanan sokongan MAIWP dalam mengupayakan usahawan asnaf ke arah kehidupan lebih stabil dan berdikari.






