MAIWP RAIKAN AIDILFITRI BERSAMA 400 ASNAF DI KUALA LUMPUR
MAIWP memperkukuh agenda kebajikan Islam melalui penganjuran program Rahmah Syawal MADANI: Majlis Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf 1446H/2025M yang diadakan di Dewan Perdana FELDA, Kampung Datuk Keramat, di sini hari ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar yang turut meluangkan masa menyantuni para hadirin serta menyampaikan sumbangan kepada asnaf.

Turut hadir mengiringi YB Menteri, YB Senator Dr. Zulkifli Bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Pengerusi MAIWP, YBhg Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan barisan Ahli MAIWP.

Program tersebut menyaksikan seramai 400 orang asnaf menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM200 dan cenderahati bernilai RM120 setiap seorang, manakala 200 orang kanak-kanak turut menerima duit raya sebanyak RM50 seorang. Keseluruhan sumbangan tersebut melibatkan dana zakat berjumlah RM138,000.

Menurut MAIWP, penganjuran program ini bukan sekadar acara agihan semata-mata, malah menjadi platform penting untuk mempererat hubungan antara institusi dan komuniti yang memerlukan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sehingga 21 April 2025, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM314,879,762.44 dalam bentuk bantuan zakat kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melalui pelbagai kluster bantuan yang menyasarkan kebajikan serta kesejahteraan rakyat bandar.

Kejayaan penganjuran program berskala besar ini turut disumbang oleh sokongan berterusan umat Islam yang menunaikan zakat melalui MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), membuktikan bahawa ekosistem zakat yang telus dan efisien mampu memacu keadilan sosial secara menyeluruh.

TOP