KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2025– Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Etiqa Takaful Berhad dalam usaha memperkukuh jaringan strategik antara institusi kewangan Islam dan agensi agama ke arah memperkasa pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan.
Delegasi Etiqa Takaful yang diketuai oleh En. Zafri Ab Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Takaful, telah disambut mesra oleh YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, bersama barisan pengurusan kanan MAIWP di Menara MAIWP.
Kunjungan tersebut menjadi platform perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh agenda kebajikan dan pembangunan ummah, khususnya dari aspek pendidikan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Antara perkara yang turut dibincangkan termasuk peluang sinergi dalam program pembangunan modal insan, bantuan pelajar, serta inisiatif memperluas manfaat zakat dan takaful kepada golongan yang memerlukan.
MAIWP turut berkongsi pelbagai program bantuan dan inisiatif sedia ada yang dilaksanakan untuk kesejahteraan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan, manakala Etiqa Takaful menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha bersama dalam memperkasa pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan sosial ummah.
Kunjungan ini melambangkan semangat kerjasama erat antara sektor kewangan Islam dan institusi agama dalam merealisasikan aspirasi kerajaan ke arah masyarakat yang lebih berdaya tahan dan sejahtera.
MAIWP dan Etiqa Takaful optimis bahawa jalinan ini akan memberi impak besar kepada masyarakat, serta menjadi asbab kebaikan yang berpanjangan, insya-Allah.






