MAIWP Run 2026, dengan kerjasama Koperasi PPZ Bhd (KoPPZ), berjaya menghimpunkan lebih 10,000 peserta daripada pelbagai latar belakang. Larian bermula seawal jam 4.30 pagi bertempat di Dataran Putrajaya, Putrajaya.
YB Senator Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata edisi keempat program itu melambangkan komitmen MAIWP dalam memupuk gaya hidup sihat, selain memperkukuh perpaduan, disiplin dan semangat kesukarelawanan.
Menurut beliau, acara itu membuktikan masyarakat mampu bersatu atas dasar kemanusiaan dan perpaduan, selaras dengan mesej yang dibawa oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
“Ini menunjukkan kita boleh bersatu atas dasar kemanusiaan dan perpaduan. Inilah mesej yang cuba dibawa oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan,” katanya selepas merasmikan MAIWP Run 2026 pagi tadi.
Program ini turut menghimpunkan peserta pelbagai kaum dan warga antarabangsa, serta diserikan kehadiran 40 peserta orang kurang upaya (OKU) yang menjadi salah satu tumpuan dalam acara kali ini.
MAIWP Run 2026 menampilkan empat kategori larian iaitu 21 kilometer dengan penyertaan 2,201 peserta, 10 kilometer (2,297 peserta), 5 kilometer (2,792 peserta), dan 3 kilometer (2,731 peserta).
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Puan Marhamah Rosli, serta Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Haji Yahya.
MAIWP mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dan penyokong, serta berharap program ini dapat diteruskan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh perpaduan masyarakat.








