PELANCARAN BARAKAH PIT STOP DI MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN

Alhamdulillah, MAIWP berkesempatan melancarkan Barakah Pit Stop @ Masjid Wilayah Persekutuan , ruang rehat khas buat rider p-hailing yang setiap hari gigih mencari rezeki di jalan raya.

Majlis ini disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan turut dihadiri  YBhg. Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, dan YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, bersama wakil NGO dan yang paling istimewa, para rider sendiri.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, MAIWP menyerahkan cek cura berjumlah RM105,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Prihatin Insan Kuala Lumpur dan Selangor (PEKERTI) untuk menjayakan program Barakah Pit Stop, memastikan manfaat zakat sampai terus kepada golongan yang memerlukan.

Di Barakah Pit Stop, para rider boleh berehat seketika, menikmati kemudahan yang disediakan, serta petang tadi mereka turut menerima saguhati tunai, malah turut dijamu dengan agihan makanan berbuka puasa.

Lebih daripada sekadar tempat rehat, Barakah Pit Stop adalah simbol kasih sayang dan menzahirkan bahawa setiap sumbangan zakat benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan

TOP