MISI BERSAMA BASMI MISKIN TEGAR MAIWP & PPNWP PERKUKUH KERJASAMA

Kuala Lumpur, 14 Ogos– Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus memperkukuh usaha membasmi miskin tegar di Wilayah Persekutuan apabila menerima kunjungan hormat daripada Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan (PPNWP), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri pada hari ini.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengarah PPNWP, YBrs. Encik Megat Azlani bin Megat Ramli, dan telah disambut mesra oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya bersama barisan pengurusan tertinggi MAIWP. Pertemuan ini menjadi wadah penting bagi membincangkan hala tuju serta strategi bersama dalam memperkasa agenda membasmi miskin tegar secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Antara fokus utama perbincangan ialah memperkukuh penyelarasan data antara kedua-dua pihak bagi memastikan maklumat penerima bantuan lebih tepat dan terkini. Selain itu, kerjasama ini turut memberi tumpuan kepada usaha memperhebat pelaksanaan program peningkatan pendapatan yang mampan, di samping memastikan setiap bentuk bantuan sampai kepada golongan sasar dengan lebih berkesan.

MAIWP dan PPNWP juga menzahirkan komitmen untuk berganding bahu dalam menyokong aspirasi kerajaan bagi merealisasikan matlamat Sifar Miskin Tegar di Wilayah Persekutuan. Melalui sinergi ini, diharapkan setiap keluarga yang masih berada dalam kategori miskin tegar akan dapat keluar daripada belenggu kemiskinan, sekaligus menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Usaha bersepadu ini menjadi bukti bahawa penyelesaian isu kemiskinan memerlukan pendekatan holistik, melibatkan penyelarasan antara agensi serta sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan.

TOP