KOTA TINGGI, JOHOR — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyertai Karnival Hijrah 2025 selama tiga hari berturut-turut, bermula 21 hingga 23 November 2025, bertempat di FELDA Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor. Penyertaan ini turut melibatkan 13 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri serta FELDA, yang bersama-sama memeriahkan edisi kelima karnival anjuran TV AlHijrah.
Berteraskan tema “Menjalin Ukhuwah, Menyebar Ihsan”, karnival ini berjaya menjadi platform penting untuk turun ke padang dan membina rangkaian bersama masyarakat setempat. Di sepanjang program, MAIWP mengambil peluang untuk berkongsi maklumat perkhidmatan, menawarkan konsultasi berkaitan bantuan dan zakat, serta memperkukuh hubungan silaturahim dengan komuniti FELDA Air Tawar 2 dan kawasan sekitar.
Majlis Perasmian Penutup Karnival Hijrah 2025 telah disempurnakan oleh YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Kehadiran beliau menyerlahkan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan agenda dakwah, kebajikan, dan pembangunan ummah melalui kolaborasi strategik antara agensi.
Dalam ucapan beliau, YB Menteri menekankan kepentingan usaha berterusan untuk menghubungkan agensi kerajaan dengan masyarakat, khususnya dalam menyebarluaskan nilai keprihatinan, ihsan dan perpaduan. Karnival ini dilihat sebagai salah satu usaha efektif untuk mengenal pasti keperluan rakyat serta menyampaikan bantuan secara lebih bersasar.
Sepanjang karnival, reruai MAIWP menerima kehadiran ramai pengunjung yang hadir bagi mendapatkan maklumat tentang bantuan zakat, skim kebajikan, pendidikan dan pelbagai inisiatif yang ditawarkan. Sambutan yang menggalakkan ini menjadi dorongan kepada MAIWP untuk terus memperluaskan capaian perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan.
MAIWP turut merakamkan penghargaan kepada semua pengunjung yang singgah di reruainya. Kehadiran masyarakat bukan sahaja memeriahkan suasana karnival, malah menjadi inspirasi kepada MAIWP untuk terus komited menyampaikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan ummah.




