Oleh Ercy Gracella Ajos
ercy.gracella@bh.com.my
KUALA
LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Agama Islam Wilayah
Persekutuan (MAIWP) menyumbang sebanyak RM556,000 kepada Yayasan Aids Malaysia
(MAF) sebagai usaha meringankan beban pesakit HIV yang memerlukan bantuan
rawatan peringkat kedua.
Pengerusi MAF, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, dana yang disumbangkan itu akan memberi manfaat kepada 55 penerima bantuan yang memerlukan rawatan HIV peringkat kedua melalui Skim Bantuan Perubatan HIV.
Katanya, sumbangan dana masing-masing sebanyak RM306,000 daripada PERKESO dan RM250,000 daripada MAIWP akan disalurkan kepada yayasan itu bagi program bantuan perubatan.
"Ini akan memanfaatkan kepada 55 penerima Skim Bantuan Perubatan, memastikan mereka mendapat akses kepada rawatan, penjagaan, dan sokongan HIV yang menyeluruh, bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik.
"Usaha untuk mengakhiri AIDS memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan kerana isu HIV adalah isu masyarakat yang memerlukan perhatian dan tindakan kolektif.
"Kerjasama ini menunjukkan komitmen padu dalam menangani isu HIV, dan sumbangan ini akan memberi kesan besar dalam memastikan mereka yang memerlukan mendapat rawatan serta sokongan yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, MAF menghargai sokongan PERKESO dan MAIWP, kerana ia bukan sahaja membantu penerima melalui bantuan perubatan, tetapi juga memperkukuhkan usaha nasional untuk mencapai sasaran rawatan yang diperlukan.
"Ini adalah langkah signifikan dalam usaha kita menghentikan penyebaran HIV dan mengakhiri epidemik AIDS di Malaysia," katanya.
Terdahulu, MAF menganjurkan Majlis Penyerahan Replika Cek oleh PERKESO dan MAIWP yang disempurnakan oleh Dr Adeeba dan turut dihadiri Ketua Bahagian Pencegahan dan Perubatan PERKESO, Dr Azlan Darus serta Pengurus Bahagian Pengagihan Zakat MAIWP, Ahmad Talmizi Yahaya, yang mewakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.
Kerjasama antara MAF dan PERKESO yang sudah terjalin sejak tiga tahun lalu menunjukkan komitmen bersama dalam usaha mengekang wabak HIV melalui bantuan perubatan.
PERKESO memberikan peluang kepada Orang Yang Hidup Dengan HIV, yang terbeban dengan kos rawatan peringkat kedua, untuk mendapatkan rawatan tanpa mengira usia, jantina, atau latar belakang mereka.
Usaha sama ditunjukkan oleh MAIWP dalam komitmen pemberian bantuan dana bagi kos rawatan peringkat kedua sejak tiga tahun lalu kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang terkesan dengan HIV.
Pautan: Berita
Harian


