UCAPAN ALUAN MENTERI HEA SEMASA PECAH TANAH SMISTA MAIWP

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Bin Haji Mokhtar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)  26 September 2024 (Khamis), Jalan Alam Sutera Utama, Bukit Jalil, Kuala Lumpur:

 

Berikut adalah ucapan aluan beliau:

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam Malaysia MADANI.

Saudara pengacara majlis,

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

Alhamdulillah, syukur kita panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dapat diadakan pada hari ini.

Terlebih dahulu, saya pada kesempatan ini ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana      Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Menteri Wilayah Persekutuan, YB. Dr. Zaliha binti Mustafa, Yang Berbahagia Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yang Berbahagia Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yang Berbahagia Tan Sri – Tan Sri, Puan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin dan dif-dif kehormat, Yang Dihormati Ahli-ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Barisan Pengurusan Tertinggi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Guru-guru dan para pelajar Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA), Rakan-rakan media dan seterusnya tuan-tuan, puan-puan para hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah SWT sekalian yang sudi meluangkan masa bersama-sama kita pada hari ini di tengah-tengah kesibukan tugas.

Kehadiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri membuktikan betapa komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan Madani yang memberikan keutamaan kepada pembangunan pendidikan Islam khususnya pendidikan tahfiz.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan hadirin sekalian,

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memainkan peranan dalam memartabat dan memastikan syiar Islam terus terpelihara terutamanya dalam mengangkat modul pendidikan Islam setanding dengan pendidikan arus perdana.

Untuk makluman YAB Dato’ Seri, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) ini telah ditubuhkan pada tahun 2011 bertujuan untuk menawarkan pendidikan berteraskan agama dengan gabungan pendidikan sains moden dan konvensional selain turut melahirkan para huffaz yang mampu mengimbangi kehidupan dunia dan ukhrawi.

Pada awal penubuhannya, sekolah ini beroperasi di bangunan rumah kedai di Danau Lumayan, Bandar Tun Razak, Cheras dan kemudian berpindah ke lokasi semasa iaitu di premis bangunan di parkir Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bandar Tun Razak sehingga kini.

Selain menggunakan premis yang kurang kondusif, pelajar SMISTA juga turut berkongsi asrama dengan pelajar Sekolah Menengah Agama MAIWP KL di Bandar Sri Permaisuri yang memerlukan pergerakan ulang alik ke sekolah hampir 6km setiap hari.

Melihat kepada kekangan ruang dan keperluan untuk menyediakan prasarana pendidikan yang lebih kondusif ini, maka Mesyuarat MAIWP pada 2013 telah meluluskan cadangan pembinaan kompleks SMISTA di Lot 101864, Jalan Alam Sutera, Taman Alam Sutera, Kuala Lumpur.

Untuk makluman YAB Dato’ Seri dan hadirin semua, MAIWP     telah     mengemukakan permohonan Geran Pembangunan (DE) melalui Rancangan Malaysia Ke-12, (RMK12) sebanyak 3 kali bermula dari Rolling Plan 1 sehinggalah ianya diluluskan dalam Rolling Plan 4 (RP 4) pada tahun 2023.

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,  selalu Menteri Kewangan yang sentiasa prihatin dan cakna dengan permohonan MAIWP.

Mengikut perancangan, pembinaan kompleks baharu SMISTA ini telah direka bentuk secara holistik untuk menempatkan lebih ramai pelajar dan pengurusan sekolah iaitu 576 orang pelajar, dan sehingga 130 guru termasuk pengurusan sekolah berbanding kapasiti sedia ada iaitu hanya mampu menampung 363 pelajar dan 86 guru termasuk pengurusan sekolah.

Insyaallah, hasrat MAIWP untuk melahirkan intelektual Islam yang mampu menghafaz al-quran didasari dengan jati diri yang kukuh sebagai generasi bakal pemimpin masa hadapan selaras dengan agenda Membangun Malaysia Madani,

Hadirin dan hadirat sekalian,

Akhir kalam, saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas kesudian hadir merasmikan majlis pada hari ini.

Terima kasih juga kepada semua agensi yang turut telah bertungkus lumus bagi menjayakan program pada hari ini. Semoga segala usaha kita mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.

 

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 


TOP