Bukit Bintang menjadi saksi kepada satu pendekatan dakwah yang segar dan berbeza menerusi penganjuran program Street Dakwah, yang menampilkan mesej Islam disampaikan secara santai, harmoni dan penuh hikmah, selari dengan realiti masyarakat bandar yang rencam. Pendekatan mesra ini menjadikan dakwah lebih dekat di hati, mudah diterima dan tidak bersifat menghakimi, khususnya kepada golongan muda dan masyarakat pelbagai latar belakang yang mengunjungi kawasan tumpuan tersebut.
Suasana malam itu bertambah meriah dengan kehadiran YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta YB Senator Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang bersama-sama turun padang menyantuni orang ramai. Turut hadir ialah YBhg. Datuk Mohd Nizam bin Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, serta barisan ketua agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sekali gus mencerminkan sokongan padu kepimpinan terhadap usaha dakwah yang inklusif dan berteraskan pendekatan kemasyarakatan.
Tanpa protokol yang ketat, program ini berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan keterbukaan. Pelbagai aktiviti interaktif seperti kuiz santai, alunan muzik buskers serta edaran cenderahati bukan sekadar menceriakan suasana, malah menjadi medium untuk membina jambatan ukhuwah dan menjalin hubungan yang lebih dekat antara pendakwah dan masyarakat.
Sesungguhnya, dakwah itu luas dan tidak terhad kepada penyampaian kata-kata semata-mata. Ia dizahirkan melalui akhlak yang mulia, tutur kata yang lembut serta santunan yang ikhlas. Diharapkan usaha kecil namun bermakna ini dapat menyemai kefahaman, menyebarkan nilai-nilai murni dan membawa gelombang positif kepada warga kota, seterusnya memperkukuh keharmonian dalam masyarakat.




