SESI TAKLIMAT DAN LIBAT URUS RUU MUFTI BERSAMA AHLI DEWAN RAKYAT


Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan(JMWP) mengadakan sesi taklimat dan libat urus Rang Undang-Undang Mufti Wilayah Persekutuan (RUU Mufti) bersama beberapa Ahli Parlimen dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS), semalam. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Dr Zulkifli Hassan, mengendalikan sesi taklimat dan libat urus Rang Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama bersama Ahli Dewan Rakyat dengan mendapat sambutan memberangsangkan dari semua yang hadir.

Ketika membentangkan RUU Mufti di Parlimen bagi bacaan pertama pada 2 Julai 2024, YB Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa akta ini bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah Persekutuan sahaja.

Sesi libat urus yang dikendalikan oleh SS Datuk Prof Madya Dr. Luqman Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, bertujuan memberikan penjelasan tentang kewajaran dan kepentingan RUU Mufti ini digubal setelah melalui proses yang panjang dan teratur bersama dengan pakar perundangan, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan beberapa pihak berkaitan.

Ia juga bagi menangkis salah faham di kalangan masyarakat, antaranya; mendakwa bahawa penggubalan RUU Mufti dilakukan secara tergesa-gesa, menyekat kebebasan, tidak berperlembagaan, menyebabkan Mufti mempunyai kuasa tertinggi, terpakai kepada semua pihak dan kepada semua rakyat di negara ini.

Ini adalah sesi libat urus ketiga yang berjaya dijalankan JMWP.

Sebelumnya, pada   3 Julai 2024, sesi libat urus diadakan kali pertama di Parlimen Malaysia dengan dihadiri hampir 100 ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.

Sesi sebelum ini, melibatkan Persatuan Pondok Se-Malaysia.

Banyak lagi sesi libat urus seumpama ini dengan semua pihak berkepentingan akan dilibatkan bersama penggubal dasar negara, ahli politik, kakitangan awam, NGO dan pertubuhan Islam berkaitan.

JMWP sentiasa komited senada dengan pihak kerajaan bahawa sebarang pelaksanaan dasar, polisi dan perundangan khususnya berkaitan hal ehwal Islam maklumat dari pihak berautoriti berkenaan sampai dan difahami masyarakat.

 

Ihsan: FB pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

TOP