Bahagian
Pembangunan Asnaf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), baru-baru ini telah menganjurkan Seminar Transformasi Minda Asnaf MAIWP 2.0
dengan tujuan utama memberi pendedahan kepada mereka tentang potensi besar
dalam sektor pertanian.
Program
ini dirancang sebagai platform untuk memperkasa penerima bantuan dengan
memberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran praktikal serta membuka peluang dalam
bidang pertanian yang sentiasa berkembang.
Seminar
ini memberi tumpuan kepada aspek pertanian moden, termasuk pengenalan kepada konsep asas pertanian,
penerapan teknologi canggih seperti hidroponik
dan akuaponik serta eksplorasi perniagaan dalam ekosistem pertanian bandar.
Matlamatnya
adalah untuk memupuk kesedaran bahawa pertanian boleh menjadi sumber pendapatan
yang mampan apabila diusahakan dengan strategi tepat dan terancang.
Peserta seminar berpeluang
mendengar perkongsian daripada penceramah pakar industri dan usahawan pertanian berjaya.
Mereka berkongsi pengalaman,
tips praktikal dan cara untuk memulakan projek pertanian berskala kecil di
kawasan bandar.
Selain
itu, peserta turut diberikan pendedahan tentang cara untuk mendapatkan sokongan
tambahan, seperti pinjaman mikro,
latihan lanjutan
dan akses kepada pasaran.
Menurut Ustaz Ahmad Saifuddin bin Haji Md Tahir, Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP yang turut merasmikan seminar tersebut.
”Program
ini bertujuan untuk membuka minda golongan asnaf supaya melihat sektor
pertanian sebagai bidang yang relevan dan berpotensi untuk meningkatkan taraf
hidup.
“Usaha ini selaras dengan misi MAIWP untuk memperkasakan komuniti asnaf melalui pendidikan, latihan, dan sokongan berterusan,” ujarnya.
Seminar
ini diharapkan dapat memberi keyakinan
diri kepada golongan asnaf, memperluas pengetahuan mengenai sektor pertanian serta memberikan panduan
praktikal untuk merancang perubahan yang positif dalam kehidupan; menjadi
langkah penting untuk lebih berdikari dan meningkatkan taraf hidup mereka.












