MALAM APRESIASI MEDIA, PERKUKUH SINERGI DENGAN RAKAN MEDIA

 

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Malam Apresiasi Media sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media dari pelbagai agensi, termasuk Media Prima, RTM, Astro, IKIM, Bernama, serta wakil media dari Labuan.

Program tahunan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuh sinergi antara MAIWP dan rakan media.

Dalam ucapannya, Pengerusi MAIWP, Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, menekankan pentingnya sokongan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat, khususnya mengenai amanah dana zakat yang dikelola oleh MAIWP.

Beliau juga berharap agar rakan media dapat berperanan sebagai “mata dan telinga” yang membantu menyalurkan maklumat yang sahih kepada orang ramai, memastikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat terus kukuh.

Selain itu, MAIWP turut memperkenalkan pelbagai saluran informasi kepada masyarakat, termasuk laman web, media sosial, dan aplikasi Mobile Jejak Asnaf  (MoJA) yang memudahkan permohonan bantuan.

Inisiatif ini bertujuan mempercepatkan proses bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutama golongan asnaf.

MAIWP berharap agar kerjasama yang terjalin dengan media dapat memperkukuh lagi usaha mereka dalam memajukan kemaslahatan ummah dan menyampaikan mesej yang bermanfaat kepada masyarakat.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, dan Encik Mohd Fauzi bin Abidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.

TOP