MAJLIS PENYERAHAN SURAT PELANTIKAN PENGERUSI DAN AHLI- AHLI MAIWP SESI 2026-2028

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pengerusi dan Ahli-Ahli MAIWP bagi sesi 2026–2028 yang disampaikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Bin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pelantikan Pengerusi dan Ahli-Ahli MAIWP bagi sesi ini adalah bermula 1 Mac 2026 hingga 31 Disember 2028, setelah mendapat ampun perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Barisan ahli MAIWP yang baharu dilantik terdiri daripada individu yang mempunyai pelbagai latar belakang kepakaran, pengalaman dan bidang profesional, sekali gus memperkukuh peranan MAIWP sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam mengurus dan memajukan hal ehwal Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Dalam ucapannya, YB Menteri merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua ahli yang dilantik serta menzahirkan harapan agar mereka dapat menyumbang idea, kepakaran dan pengalaman dalam memperkasakan peranan MAIWP, khususnya dalam aspek kebajikan, dakwah, pembangunan sosial dan ekonomi umat Islam.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk terus mendokong agenda Malaysia MADANI di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, dalam usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat serta membangunkan ummah secara menyeluruh di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

MAIWP komited untuk terus memainkan peranan strategik dalam memperkasakan pembangunan ummah melalui pengurusan zakat, wakaf, pendidikan, kebajikan dan pembangunan sosioekonomi, selaras dengan aspirasi kerajaan dan keperluan masyarakat.

Semoga pelantikan ini akan terus memperkukuh peranan MAIWP dalam memakmurkan ummah dan meningkatkan kesejahteraan umat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

TOP