Pada 6 Disember 2024, Majlis
Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menerima kunjungan daripada
delegasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Dewan Seminar, Aras
10, Menara MAIWP.
Lawatan ini melibatkan seramai 77
pelajar tahun akhir jurusan Kewangan Islam bersama dua pensyarah.
Mereka hadir untuk mengikuti taklimat khas yang bertujuan memberikan pendedahan mendalam mengenai pengurusan zakat dan sumber am di Wilayah Persekutuan.
Sesi taklimat tersebut menampilkan tiga pembentang utama.
Encik Muhsin Bin Nor Paizin, Pengurus Akademi Zakat (AZKA) daripada Pusat
Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), telah membentangkan topik pengurusan kutipan zakat
di Wilayah Persekutuan.
Encik Mohd Saiful Hafiz Vijia Bin Abdullah, Penolong Pengurus Unit Naziran dan Seranta dari Bahagian Agihan Zakat MAIWP, menerangkan proses pengurusan agihan zakat, manakala Puan Aspalela Binti Hasan, Ketua Unit Sumber Am dari Bahagian Agihan Zakat MAIWP, berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai sumber am.
Program ini diadakan untuk memperkenalkan para pelajar kepada aspek
praktikal dalam pengurusan zakat dan sumber am, sejajar dengan teori yang
dipelajari dalam subjek "Pengurusan Harta Islam".
Selain itu, taklimat ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai tanggungjawab mereka sebagai bakal pembayar zakat serta peranan mereka dalam membantu memperkukuh sistem agihan zakat di negara ini.
MAIWP berharap lawatan ini dapat
melahirkan mahasiswa yang berilmu, berdaya saing, dan berperanan aktif dalam
menyebarkan maklumat berkaitan zakat kepada masyarakat.
Inisiatif ini juga bertujuan
mengukuhkan kerjasama strategik antara MAIWP dan institusi pengajian tinggi
dalam usaha memperkasa pengurusan zakat demi kebaikan ummah.















