LAWATAN SAMBIL BELAJAR PELAJAR SMISTA MAIWP

 

Pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) baru-baru ini mengadakan program lawatan sambil belajar ke Menara MAIWP, Jalan Haji Hussein, Kuala Lumpur.

Program ini merupakan salah satu aktiviti penting bagi mendedahkan pelajar kepada pembelajaran secara tidak formal serta memberikan mereka pengalaman secara langsung tentang tempat yang mereka lawati.

Program lawatan ini selaras dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 9 Tahun 2023, yang bertarikh 16 Jun 2023. Surat yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Pkharuddin bin Haji Ghazali, menyatakan bahawa KPM menggalakkan sekolah-sekolah menganjurkan lawatan pendidikan yang memberi manfaat kepada pengukuhan proses pengajaran dan pembelajaran.

Aktiviti lawatan seperti ini turut memberi pelbagai manfaat, antaranya menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman serta membantu pelajar memahami secara langsung situasi di tempat yang mereka lawati.

Semasa lawatan, pelajar-pelajar SMISTA MAIWP berpeluang merasai suasana pejabat di Menara MAIWP dan memperoleh pembelajaran kendiri yang dapat memotivasikan mereka untuk lebih tekad dan bersemangat pada masa hadapan.

Mereka turut dibawa melawat anjung Menara MAIWP yang menawarkan pemandangan indah kawasan Kampung Baru dan Hospital Kuala Lumpur, di samping menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang menyegarkan.

Kehadiran pelajar-pelajar SMISTA disambut oleh Ustazah Nor Azlin binti Abu Mansor (Ketua Pengurus Sekolah-sekolah MAIWP) dan Ustaz Mohd Azrul bin Ismail.

Suasana lawatan ini memberi pengalaman yang bermakna buat pelajar, yang dapat merasai bagaimana suasana pejabat dan melihat sendiri persekitaran sekitar Menara MAIWP.

Syarat Kemasukan ke SMISTA MAIWP

Bagi mereka yang berminat untuk memasuki SMISTA MAIWP, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi:

1.    Warganegara Malaysia

2.    Dilahirkan atau bermastautin di Wilayah Persekutuan

3.    Memiliki minat dan kemahiran dalam Pengajian Al-Quran, tilawah, dan hafazan

4.    Pencapaian akademik minimum 5A (UPSR) atau 4A 1B, 5A, atau Mumtaz (UPSRA/PSRA) dan setara dengannya

5.    Bagi anak asnaf MAIWP, syarat kemasukan minimum adalah 3A (UPSR) atau Jayyid Jiddan (UPSRA/PSRA)

6.    Lulus ujian bertulis dan ujian syafawi

Prosedur kemasukan ke SMISTA MAIWP termasuk permohonan secara atas talian, penghantaran borang yang lengkap bersama dokumen yang diperlukan, dan menghadiri sesi temuduga serta ujian hafazan dan ujian bertulis.

Dengan peluang pendidikan yang ditawarkan oleh SMISTA MAIWP, diharapkan pelajar-pelajar ini dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan pengajian Al-Quran, seterusnya menjadi golongan yang berilmu dan berketerampilan tinggi.

TOP