Hampir 10,000 orang membanjiri Bulatan Dataran
Putra di sini, malam ini, untuk berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk
Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Iftar Madani sempena sambutan Nuzul Al-Quran.
Majlis julung kali anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) itu berlangsung secara santai dengan
hadirin duduk bersila menjamu juadah berbuka puasa yang disediakan.
Majlis yang turut diadakan dengan kerjasama 14
agensi agama Persekutuan termasuk MAIWP serta rakan strategik lain itu
bertujuan merapatkan persaudaraan dan kebersamaan menerusi perkongsian rezeki,
sekali gus membolehkan rakyat berbuka puasa bersama Perdana Menteri.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan alunan selawat
dan zikir munajat.
Perdana Menteri turut menyaksikan penyampaian
sumbangan kepada 60 golongan asnaf MAIWP hasil sumbangan PPZ-MAIWP, LHDN DAN
TNB.
Turut hadir bersama meraikan iftar, Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli
bin Hasan bersama Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Bin Haji Yahya.



